KUALA LUMPUR: Pelan tindakan fasa pertama bagi menyelesaikan isu yang membelenggu pemain industri kreatif tempatan, akan bermula seawal suku ketiga tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata semua permasalahan itu akan diselesaikan mengikut fasa, menerusi pelan tindakan yang telah dibentangkan dalam satu perbincangan antara Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersama agensi di bawahnya, hari ini.

Fahmi berkata perbincangan tersebut adalah untuk menganalisis dapatan daripada empat sesi dialog awam bersama pemain industri muzik, persembahan, industri kreatif dan filem, yang telah diadakan sebelum ini.

"Enam bulan pertama, saya ingin pastikan suara pemain industri kreatif didengari. Semestinya, mereka lah yang paling tahu masalah yang berlaku dalam industri ini. Saya telah mendengar suara anak seni melalui empat sesi dialog awam.

"Adakah 'mendengar' sahaja sudah cukup? Tidak. Itu hanya langkah pertama untuk saya faham masalah yang dihadapi," katanya dalam hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.

Justeru, Fahmi berkata pelan tindakan yang dibentangkan dalam perbincangan itu merupakan selangkah ke arah reformasi industri kreatif tanah air.

-- BERNAMA